Manatuhanallah’s Blog


KHUTBAH JUMAAT KHUTBAH KIAMAT

 
 

 
 

 
 
Sidang yang dirahmati,

Pada zaman ini, segalanya sudah terbukti. Kesilapan kita, kesilapan mereka, kesilapan semua, sudah jelas kelihatan dengan melihat ragam dunia dan pelbagai mahkluk yang rakus di dalamnya dengan pelbagai bangsa, agama, keturunan, ikutan serta pemerintahan. Marilah kita menuju kebenaran yang sebenar-benarnya dimana kehidupan ini telah melalaikan kita, merugikan kita, mencuaikan kita, telah menggelapkan impian kita, harapan kita, namun masih ada masa untuk kita menuju destinasi pemetaan yang telah dimeterai oleh kita dalam syahadah-Nya: “Tiada tuhan melainkan Allah dan Muhamad itu persuruh-Nya”
 
 
Sidang hadirin yang dimuliakan,

Sucikanlah hati kita dari kepalsuan yang kita sendiri sudah tahu, kerakusan hati kita yang kita telah buktikan, kita pamerkan, kita agung-agungkan, dimana kepalsuan itu adalah keburukan-keburukan kita semasa di dunia yang ternoda dalam peredaran zaman-berzaman yang halus dan sukar untuk kita fahami, akhirnya kita bertindak sendiri, tanpa kita ketahui bahawa dunia ini sudah sampai ke penghujungnya.
 
 
Sidang yang dirahmati,

Usahlah kita saling menuding jari tuduh-menuduh sesama sendiri, ungkapan yang lalu kita lupakan agar kita beroleh jiwa yang suci. Usahlah kita masih bermimpi dan terasa berada di tempat yang tinggi, jangan biarkan mimpi menggadai diri hingga lupa tempat abadi, dimana mimpi-mimpi di siang hari tidak ada manfaatnya, untungnya, dan semata-mata rugi serugi-ruginya, sedangkan apa yang kita lalui, apa yang kita lakukan adalah terang bukan di dalam mimpi, kita telah melakukan segala-galanya dalam keadaan sedar dan berakal sempurna.
 
 
Sidang yang dimuliakan,

Pada zaman ini kita dapat melihat, apa yang telah berlaku pada zaman dahulu telah berulang kembali iaitu pada awal zaman kemanusian, dimana kanak-kanak kecil dibunuh, manusia pula berbunuh sesama sendiri, antaranya sejarah Habil dan Qabil, dimana mereka saling berbalah dalam kehidupan dunia yang sementara dan terjerat dengan nafsu membara, akhirnya mengambil jalan yang singkat membunuh sesama sendiri dan seterusnya zaman-zaman berikutnya, kanak kanak tidak berdosa dibunuh. Zaman itu jauh ketinggalan berbeza pada zaman sekarang, dan zaman ini, apa yang dilalui pada dahulukala dan dicatat dalam kitab-kitab kini berungkit kembali, dan pada zaman ini, kita sendiri dapat melihatnya. Kita juga menjadi saksi, apa yang sudah berlaku pada zaman dahulu ini jelas kelihatan dimana pemerintah-pemerintah dahulukala memerintah dengan kejam, menindas manusia-manusia dan kaum-kaum serta penduduk setempat, antaranya pemerintahan Firaun dan sebagainya. Pada zaman ini kita dapat melihat apa yang sudah berlaku pada pemerintah dunia di sekeliling kita, pemerintah menyeleweng, menyembunyi harta dan sebagainya. Ini jelas kita dapat lihat kejadian dahulukala berlaku pada zaman yang kita lalui iaitu hari ini.
 
 
Sidang hadirin yang dirahmati,

Zaman ini adalah akhir zaman, pelbagai telatah manusia kita dapat lihat, adakalanya adalah seperti yang diterangkan oleh rasul-rasul dahulu dan adakalanya seperti cerita-cerita di dalam kitab-kitab, dan kita sendiri yang temui, kita sendiri yang jumpa, kita sendiri melaluinya. Tanyalah pada hati kita, masihkah kita mahu menafikan apa yang kita lihat, masihkah kita menafikan apa yang kita lalui dan masihkah kita menafikan apa yang telah terbukti. Sebagai manusia dan sebagai hamba, sebagai khalifah yang menyelaras dunia dengan seadanya, dari zaman miskin kini kaya-raya, dari zaman lemah kini kuat gagah dan memerintah, dari zaman kuno kini maju jaya dan akhirnya petanda-petanda alam datang menyapa. Petanda-petanda alam tetap dengan ketetapannya, maka kita hamba hendaklah bersedia.
 
 
Sidang hadirin yang dimuliakan,

Sucikanlah hati kita dengan sesuci-sucinya agar ilmu yang ada tepat pada tempatnya, agar ilmu yang ada kita tidak sia-sia, demi satu perjalanan yang benar dan hakiki, untuk kita temui tempat abadi dimana rasul-rasul berada ditempat yang sama, Ia menanti kepulangan hamba-hamba-Nya. Janganlah kita berkata dusta, kelak nanti kelam hati di dalam jiwa, jiwa akan merana kerana ilmu yang ada kita salahguna, akhirnya diri sendiri terkaku sepi sedangkan ilmu tidak dibawa ke mati, hanyalah amalan penawar diri.
 
 
Sidang yang dimuliakan,

Khutbah Jumaat ini bertajuk ‘Khutbah Jumaat Khutbah Kiamat: Peringatan Kiamat Peringatan Umat’. Sebagai umat dan hamba pada Allah, adakah kita akui atau masih tertanya-tanya setiap petanda-petanda yang datang baik ekonomi, gejala sosial, kemajuan, kemanusiaan dan pelbagai lagi yang kita tahu dan kita dapat melihat dengan jelas sejelas-jelasnya baik di hadapan mata ataupun di akhbar-akhbar. Pelbagai perubahan yang mendadak menjelma di alam ini, kita yang menumpang di alam ini turut mendapat tempiasnya. Masihkah kita leka atau masihkah kita tidak akui setiap petanda yang datang serta berulang-ulang, antaranya bayi-bayi yang dilahirkan dihumban di tempat tidak sepatutnya dan menjadi bangkai serta sayu mata memandang. Kita lupa, kita leka. Sesungguhnya manusia itu tahu kesilapannya, namun masih menyembunyikannya dan tidak akui diri sendiri menjadi saksi nyata.
 
 
Sidang hadirin yang dihormati,

Pada zaman ini pelbagai kefahaman beragama kita dapat lihat dan anuti, namun Islam adalah agama yang terpilih dan terbaik, berpandukan Al-Quran serta perjalanan rasul-rasul. Kiamat pula adalah rukun dalam agama untuk penganutnya percayai dan taati, besesuaian dengan kepercayaan rukun iman yang kita sedia maklum, dalam kefahaman anutan agama Islam. Sebagai seseorang Islam, adakah kita akui pada agama yang kita anuti, adakah kita akui pada rasul yang kita turuti, adakah kita akui pada amalan yang kita lakukan dengan sendirian, atau dengan mereka, atau dengan dia, atau dengan semua? Di manakah kepercayaan kita seandainya kita tidak akui diri kita sendiri padahal apa yang kita lakukan sudah terbukti, dengan keluarga, kerjaya, kerajaan, keselamatan, keagamaan, kebajikan, kemasyarakatan dan lain-lain lagi, akhirnya dunia yang kita duduki ini indah dan berseri, namun, dengan petanda yang datang menyapa alam, kita manusia masih leka dan lupa pada keimanan kita pada agama-Nya, kepercayaa-Nya, lupa pada kata kata rasul-Nya, lupa pada kitab-Nya, lupa pada hadis-Nya, lupa dan terlena dengan dunia-Nya.
 
 
Sidang yang dimuliakan,

Dunia ini akan binasa dan semua insan akan dikumpulkan di tempat yang sama. Di situ, beribu agama kembali menjadi satu, di situ, satu menjadi seribu, seribu kembali menjadi satu dan yang satu itu adalah diri kita, yang satu itu adalah amalan kita, yang satu itu adalah agama kita, yang satu itu adalah tuhan kita, dan yang satu itu adalah tempat semua. Dari semua, terpisah dua, maka carilah tempat yang terbaik untuk kita duduki berpandukan agama dan amalan dunia. Wahai insan Allah yang bernama manusia, bicaramu penuh ilmu untuk tatapan generasi yang akan datang. Tidakkah terlintas di hati kita dan fikiran kita, dunia ini akan sepi, dunia ini akan sunyi seperti awal kejadian manusia iaitu Adam dan Hawa. Kita pertahankan kebenaran, sememangnya ia benar tiada penafian, akan tetapi usah kita lupa bahawa dunia ini sementara, dunia ini seketika, asal pada awal kejadian manusia, alam ini tiada apa-apa, sunyi sepi, yang ada hanyalah deruan air yang mengalir jernih di sungai yang indah permai, lama-kelamaan dunia bertukar coraknya, dunia mewarnakan serinya. Sang insan dahulunya kebingungan kini kekhayalan apabila melihat keindahan ciptaan tuhan, sehingga ada yang terlupa petanda yang datang menyapa alam, gegak gempita di sini sana, dunia ini seakan akan binasa.
 
 
Sidang hadirin yang dimuliakan,

Perubahan zaman nampak ketara, namun manusia tetap terlena. Tsunami datang menyiram diri, ribut pula mendodoi mimpi, gegak-gempita kejutkan kita, namun manusia tetap leka. Kiamat akan tiba, sesungguhnya ia benar-benar berlaku, janganlah kita cuba mendustakannya. Ia datang tidak diduga, ini kerana manusia leka semasa kedatanganya. Sang matahari kelak menyepi, bulan pula menghilangkan diri, langit yang biru bertukar kelabu, gegak-gempita di seluruh dunia, janganlah kita buat tak tahu, ini kerana petanda kiamat menghampiri kita. Sesekali janganlah kita menuding jari sesama sendiri kerana mereka juga mendapat peringatan yang sama. Rasul telah memberi peringatan pada kita dahulu semasa hayat hidupnya. Walaupun rasul kita tidak temu, namun agamanya kita temui, Al-Quran pula petunjuk diri untuk mencari jiwa yang suci. Apabila terdengar pekikan alam yang dahsyat, dimana penghuni-penghuni kubur tersentak lalu terperanjat, dan jika itu yang kita lalui kelak, jangan kita menyumpah seranah kerana jiwa kita lupa, hatimu leka, peringatan diberi kita buat tak peduli, kelak kita bergelar orang yang rugi.
 
 
Sidang yang dimuliakan,

Si pendusta adalah kita, si pengkhianat adalah kita, si penipu adalah kita. Jangan kita lupa, dunia tetap dengan perjalanannya, matahari tetap dengan geraknya, bulan tetap dengan arahnya, bintang di tempat yang sama. Kita yang bernama manusia, pelbagai peringatan yang telah diberi pada manusia-manusia dahulu, yang telah diterangkan dalam kitab suci iaitu Al-Quran dan perjalanan manusia, rasul dijadikan panduan pemetaan untuk kita sampai ke destinasi dijanjikan iaitu hari kiamat, namun kita tetap berpaling dan akhirnya kiamat datang menjemput alam. Dunia yang gelora menjadi tenang, selaut gelombang seakan-akan di lautan, itulah kita di hari pembalasan. Mulut terkaku, lidah menjadi kelu, sang matahari menyinar diri seolah-olah api membakar diri, apa yang tersembunyi dibongkar kembali untuk menghitung amalan nanti. Dunia ini hancur berkecai, sang insan dahulu ditidurkan kembali gagah untuk dihitungkan. Jangan lah kita cuba mendustakan, itu adalah hari pembalasan untuk mengira amalan semasa hidup di dunia dahulu. Ini adalah peringatan hari kiamat yang belum pernah diberi peringatan pada keluarga, saudara-mara, keturunan, semua pasti ketahui. Gunung-ganang seolah-olah ingin kembali ke tempat asalnya, hutan rimba ingin turut serta, laut yang gelora menghempas pantai, pantai yang indah bertukar wajah, janganlah kita tidak percaya, satu saat nanti kita akan jumpa, satu masa nanti kamu akan ketahui, satu masa nanti kamu akan akui. Sesungguhnya ini peringatan Khutbah Jumaat yang nyata, peringatan Khutbah Kiamat ini untuk semua agama.